mutakhir

Bantuan untuk Orang Asli perlu disegerakan

Oleh Adnan Ibrahim

SEMUA pihak berkaitan digesa memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kumpulan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat bantuan sewajarnya khususnya berkaitan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri RVidyananthan berkata, kumpulan yang dikenal pasti akan menerima kesan awal adalah penduduk di perkampungan Orang Asli yang kebanyakannya bekerja sendiri selain mendapat gaji harian daripada pemilik ladang.

Katanya, apabila PKP dilaksanakan, semua penduduk di sembilan perkampungan Orang Asli di Kahang terputus punca kewangan selain tiada simpanan kecemasan yang dapat digunakan untuk berbelanja sehingga tamat tempoh PKP.

“Oleh itu, Tok Batin setiap perkampungan Orang Asli di pekan Kahang dikehendaki mengenal pasti penduduk yang benar-benar memerlukan bantuan khususnya keperluan dapur dan makanan harian.

“Mereka perlu berhubung terus dengan pihak kami di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang bagi membolehkan penghantaran bantuan dapat dilakukan dalam masa terdekat,” katanya ditemui di Pusat Khidmat DUN Kahang di Taman Sri lambak dekat sini, hari ini.

Vidyananthan berkata demikian selepas menerima maklumat berkaitan beberapa penduduk Orang Asli yang hampir kehabisan bekalan makanan kerana putus punca kewangan akibat tidak bekerja sejak hampir seminggu.

Dalam pada itu, Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang turut berharap Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dapat memainkan peranan dengan menyalurkan bantuan.

“Bagi DUN Kahang, saya jangka bekalan makanan akan disalurkan dalam masa terdekat selepas menerima statistik tepat penduduk yang terkesan akibat PKP,” katanya.

Tinjauan di dua perkampungan Orang Asli di Paloh dan Kluang juga mendapati keadaan sama berlaku dan mereka mengharapkan bantuan dapat segera disalurkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 7:45pm
    d