mutakhir

Sultan Selangor nasihat rakyat patuh PKP

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan rakyat patuh dan tidak melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan rantaian wabak koronavirus baharu (Covid-19) dapat dihentikan.

Baginda juga menzahirkan kebimbangan kerana masih ada rakyat yang degil dan tidak mematuhi PKP oleh Kerajaan Persekutuan yang sudah masuk hari ketujuh.

“Kedegilan dan sifat pentingkan diri sendiri dalam situasi kritikal sekarang akan hanya menyusahkan pelbagai pihak khususnya yang berada di barisan hadapan.

“Semua rakyat duduk di rumah, dan bagi mereka yang mempunyai simptom Covid-19 agar tampil melakukan pemeriksaan dan pengasingan,” titahnya.

Baginda turut menggesa individu menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada akhir Februari lalu, yang masih berdegil, agar tampil untuk menjalani saringan.

“Beta khuatir sekiranya penularan wabak ini berlarutan dan jumlah kes jangkitan terus meningkat, ia akan menyebabkan tempoh PKP dipanjangkan lagi.

“Ia sekaligus akan menjejaskan lagi kegiatan harian rakyat dan memberi impak serius terhadap pendapatan golongan di pelbagai peringkat seperti peniaga dan usahawan kecil,” katanya.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.

Pada pertemuan itu, baginda diberi taklimat mengenai kedudukan semasa penularan Covid-19 di Selangor dan perkembangan terkini hasil daripada Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Menangani Covid-19 Negeri Selangor.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 8:24pm
    d