mutakhir

Simpan ikan masin sepanjang PKP

Oleh Noorazura Abdul Rahman

“DUIT hanya tinggal sikit lagi, saya sudah membuat ikan masin agar dapat makan dengan nasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” kata Suparwan Man, 67.

Suparwan antara ibu tunggal yang kini terputus bekalan makanan berikutan hanya menerima gaji hari sebagai pembantu gerai menjual air.

Katanya, dia sudah dua minggu tidak mempunyai sumber pendapatan selepas gerai air itu ditutup dan kini sumber makanan keperluannya juga semakin terhad.

“Gaji saya kira-kira RM25 sehari, sebelum ini memang cukup untuk saya makan tapi selepas dua minggu tak bekerja, duit simpanan semakin berkurangan.

“Masa ikan murah baru-baru ini saya beli dan jemur kering, itulah yang jadi lauk saya sekarang, saya buntu di mana saya sepatutnya mendapat bantuan,” katanya yang kematian suami enam tahun lalu.

Suparwan yang berasal dari Tanah Merah, Jitra adalah antara ribuan pekerja bergaji hari yang terjejas akibat PKP.

Bagaimanapun, Suparwan bersyukur apabila seorang peniaga Suairdie Johari, 40, bersama rakannya mengambil inisiatif mengagihkan barangan keperluan kepada golongan yang senasib dengannya.

Katanya, bantuan itu dapat membantu meringankan bebannya selama beberapa hari.

Sementara itu, Suairdie berkata, dia menggunakan duit simpanannya hasil menjual cendol untuk membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya peruntukkan RM2,000 bagi membeli beras, telur, minyak masak, gula, roti dan sos untuk mereka, sebanyak 140 pek saya sediakan dan mereka boleh datang ambil di rumah saya sejak kelmarin.

“Bagaimanapun, saya mengenakan syarat ketat sedikit iaitu memberi keutamaan kepada ibu tunggal yang kematian suami dan bergaji hari, ini kerana mereka lebih memerlukan.

“Sebagai komuniti penjaja di Jitra, saya menitis air mata mendengar rintihan mereka yang terputus bekalan makanan, mereka tiada arah hendak dituju, jadi saya dan rakan-rakan tak sanggup lihat mereka dalam keadaan susah dan berharap inisiatif ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung sekarang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mahsuri, Bandar Darul Aman di Kubang Pasu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 12:52pm
    d