mutakhir

Hospital Pakar Sultanah Fatimah tidak tutup

Oleh Omar Ahmad

HOSPITAL Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar beroperasi seperti biasa dan tidak ditutup sekali gus menafikan dakwaan mesej yang tular sejak semalam.

Pengarah HPSF, Dr Muhammad Yusuf Sibert berkata, hospital itu juga tidak tidak dikuarantin.

Katanya, mesej yang tersebar menyatakan seolah-olah hospital itu ditutup disifatkan mengganggu operasi hospital dalam menangani penularan wabak Covid-19 kerana menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.

“Pihak pengurusan hospital ingin merujuk kepada mesej yang tular melalui media sosial sejak semalam.

“Berdasarkan mesej itu pihak tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa hospital dikuarantin selepas beberapa kakitangan didapati positif Covid-19 dan seolah-olah memberi gambaran bahawa hospital ditutup.

“Pihak hospital menafikannya dan memaklumkan operasi hospital berjalan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

Jelas Dr Muhammad Yusuf, bagaimanapun golongan berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan ke hospital kecuali bagi kes kecemasan.

“Orang ramai diminta tidak panik dan tidak menularkan berita tidak sahih,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 1:40pm
    d