mutakhir

95 peratus jemaah tabligh dikesan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS menubuhkan pasukan khas bagi mengesan peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling dan sehingga kini seramai 95 peratus berjaya dikesan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ia hasil kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kumpulan tabligh berkenaan yang membantu mengesan peserta lain.

Menurutnya, sehingga kini kira-kira 10,000 peserta tabligh sudah tampil membuat ujian saringan jangkitan Covid-19.

“Jumlah sebenar peserta (perhimpunan tabligh) agak kabur, ada pihak katakan 14,000 orang, ada pula katakan 16,000 orang.

“Lebih 95 peratus tampil dan hanya lima peratus yang kita sedang cari. Kita sudah hubungi peserta lain minta beri maklumat jika ada peserta lain yang mereka tahu (menyertai perhimpunan) belum tampil. Mungkin mereka takut,” katanya dalam satu temubual khas sempena Hari Polis ke-213 di program Selamat Pagi Malaysia, Angkasapuri, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid meminta orang ramai supaya tidak terus menghukum dan mewujudkan pandangan negatif terhadap golongan terbabit.

Menurutnya, sukar untuk mengesan peserta perhimpunan itu kerana tiada catatan kehadiran dibuat berbanding dengan program rasmi lain.

Bagaimanapun, beliau berkata, kumpulan terbabit memberikan kerjasama yang baik kepada polis dengan membantu mengesan dan berhubung dengan individu yang kemungkinan menyertai perhimpunan itu.

“Mereka beri kerjasama yang sangat baik dengan sentiasa memaklumkan kepada polis maklumat terkini. Kita akan terus berkomunikasi dan cuba mendapatkan maklumat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan jemaah tabligh yang sedang menjalani perintah kuarantin supaya tidak melakukan aktiviti berkumpulan termasuk solat berjemaah dan tazkirah bagi mengelak jangkitan Covid-19 menular.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 1:58pm
    d