mutakhir

Cuti rehat berperingkat kepada petugas kesihatan - PM [METROTV]

Oleh Hayati Ibrahim

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) diarah memberi sedikit masa kepada petugas kesihatan supaya mengambil cuti rehat secara berperingkat sebelum mereka kembali bertugas.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tenaga sukarela dalam kalangan doktor dan jururawat swasta dan badan sukarela akan digerakkan untuk mengambil alih tugas mereka buat sementara waktu.

“Situasi yang dihadapi oleh saudara-saudari bukan mudah. Saya tahu doktor, jururawat dan kakitangan hospital amat keletihan pada masa ini. Saya doakan saudara-saudari terus cekal.

“Begitu juga kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di lapangan. Jaga kesihatan anda dan terus cekal berkhidmat untuk negara.

“Kita sudah berikhtiar sedaya upaya kita untuk menangani krisis yang sedang kita hadapi ini. Jangan kita lupa, penentu kejayaan kita ialah Tuhan Yang Maha Kuasa,” katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya, hari ini.

Muhyiddin berkata sebagai Perdana Menteri beliau turut berjanji bertanggungjawab sepenuhnya kepada kebajikan rakyat.

“Ini amanah yang saya pikul. Sebagai manusia saya tidak sempurna, tetapi saya berjanji akan

melakukan yang terbaik. InsyaAllah, dengan izin Allah S.W.T kita akan dapat bersama-sama mengharungi dugaan besar ini,” katanya.

Beliau turut mengakhiri Perutusan Khas dengan membacakan doa ke hadrat Allah S.W.T supaya diri, keluarga, negara dan seluruh umat manusia dilindungi olehNya, manakala bagi yang bukan beragama Islam dimohon berdoa mengikut ajaran agama masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 2:46pm
    d