mutakhir

Presma sedia bantuan bekalan makanan asas

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PERSATUAN Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) melancarkan Gerobok Rezeki Presma bagi membantu golongan memerlukan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Presidennya Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, dengan cara itu, orang ramai yang mempunyai masalah boleh mendapatkan bekalan makanan asas seperti makanan kering, keperluan dapur seperti beras, gula, tepung, telur, mi segera dan seumpamanya secara percuma di rangkaian restoran ahli Presma di seluruh negara.

“Ketika ini sudah ada dalam kalangan ahli Presma yang mengambil inisiatif untuk membuka Gerobok Rezeki Presma di restoran mereka.

“Kempen ini akan dipastikan mengambil kira keselamatan dan jarak sosial dalam proses pengagihan barangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jawahar berkata, sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab, Presma juga akan meneruskan bantuan kepada petugas di barisan hadapan seperti polis, tentera, Rela, Angkatan Pertahanan Awam, petugas kesihatan, media dan badan bukan kerajaan dalam usaha memastikan mereka yang terbabit mendapat bantuan sewajarnya.

“Ada ahli yang mencadangkan supaya makanan percuma seperti sarapan diberikan kepada orang ramai. Ia bergantung kepada inisiatif ahli dan kita tidak ada halangan. Jika ia dibuat, lebih bagus kerana dapat membantu masyarakat.

“Insya-Allah dengan cara ini, kita harap dapat meringankan beban pihak terbabit. Presma komited untuk bersama kerajaan mendepani wabak pandemik ini sehingga selesai,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 4:04pm
    d