mutakhir

Keluar ambil wang gaji [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

“SAYA keluar ambil wang tunai hari ini untuk membeli barang keperluan memandangkan ada barangan sudah tiada di rumah,” kata pesara kerajaan, Tarmizi Jamaluddin, 68.

Tarmizi berkata, dia hanya keluar rumahnya di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, hanya dua kali sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

“Saya keluar untuk mengambil wang pencen yang diterima hari ini untuk membeli barang keperluan terutama cecair pembasmi kuman yang sudah habis.

“Pada masa sama, saya ambil kesempatan ini (keluar rumah) untuk membeli barang keperluan lain termasuk makanan bagi bekalan saya dan dua anak yang tinggal bersama,” katanya ketika ditemui di sebuah cawangan bank di Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, akauntan, Maninderpal Singh Bhullar, 50, berkata, dia mengehadkan pergerakan keluar rumah dengan hanya keluar apabila perlu sahaja.

“Hari ini saya keluar mengambil wang tunai dan sebagai persediaan sekiranya memerlukannya nanti untuk membeli barang selain menggunakan kad kredit atau debit.

“Malah, saya lihat jumlah individu mengambil wang hari ini lebih ramai berbanding hari lain pada tempoh perintah ini kerana ada dalam kalangan mereka menerima gaji,” katanya yang tinggal di Bangsar.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Mohd Rostam Zakaria, 46, berkata, dia singgah ke bank untuk mengambil wang tunai dan membuat pembayaran pinjaman kereta, hari ini, sebelum ke tempat kerja.

“Memandangkan saya perlu keluar bekerja, jadi saya singgah dulu untuk mengambil wang tunai dan terus membeli barang keperluan bagi isteri dan anak di rumah,” katanya yang bertugas di Jabatan Penjara Malaysia.

Tinjauan wartawan Harian Metro di beberapa cawangan di sekitar Bangsar dan Kajang, Selangor mendapati ada beberapa individu berkunjung ke bank untuk mengeluarkan wang tunai dan membayar bil serta pinjaman pada hari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 4:05pm
    d