mutakhir

Food Bank bantu penduduk Sepang

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PERNAH merasai keperitan hidup susah dan menerima bantuan mendorong seorang aktivis masyarakat mengaktifkan Food Bank untuk penduduk di sekitar Sepang dan Nilai bagi membantu mereka yang memerlukan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menggunakan jaringan pertubuhan bukan kerajaan sedia ada, Kelab Perantau 11 berjaya mengumpulkan makanan asas dan barangan keperluan untuk diagihkan kepada kumpulan sasar di sekitar kawasan itu.

Presidennya Fairuz Mohamad berkata, inisiatif Food Bank itu timbul selepas dia sendiri terbabit dalam beberapa program seumpamanya sebelum ini dan pernah menerima bantuan daripada pihak tertentu satu masa dulu.

“Sebab itu saya faham apa yang dilalui sebahagian besar masyarakat kita, terutama apabila PKP dilaksanakan, ada yang tak dapat bekerja.

“Ada suri rumah dan ibu tunggal kehabisan bekalan makanan dan mereka tidak tahu pada siapa hendak meminta. Jadi kita bantu mereka ini menerusi hebahan di Facebook dan Alhamdulillah, fasa pertama selesai semalam,” katanya kepada Harian Metro.

Fairuz berkata, pihaknya turut menyediakan borang untuk memudahkan penyerahan bantuan dilakukan dan pengumpulan maklumat.

Katanya, bagi menjayakan usaha itu, pihaknya mendapat sokongan beberapa syarikat korporat dan ahli perniagaan yang mahu sama-sama membantu.

“Kita ada pusat pengumpulan di Taman Salak Baiduri, kemudian kita akan pek dan agihkan mengikut maklumat tertera di borang terbabit.

“Dalam perancangan kita, ada beberapa fasa agihan dan kita sudah selesai satu yang membabitkan 20 keluarga. Insya-Allah, selagi terdaya kita akan usahakan bantuan kecil-kecilan ini kerana ia amat bermakna kepada yang susah,” katanya.

Sementara itu penerima, Rosmalina Nasir berkata, dia bersyukur dengan pemberian sumbangan itu kerana dapat meringankan beban keluarganya.

“Rasa lega bila ada pihak yang sudi membantu. Memang sangat-sangat memerlukan waktu ini kerana hendak keluar rumah pun susah, duit pula tak seberapa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan

    pergerakan

  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 4:11pm
    d