mutakhir

FAMA bantu pekebun beli hasil pertanian

Oleh Mohd Rafi Mamat

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang berusaha membantu pekebun dengan membeli hasil pertanian mereka yang tidak dapat dipasarkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana wabak Covid-19.

Pengarah FAMA Pahang, Noh Nik Wan berkata, selain membeli pihaknya juga turut membantu mengadakan mempromosi hasil pertanian terbabit yang diharap dapat menarik minat pembeli disemua peringkat.

Menurutnya, pendekatan lain yang turut dilakukan FAMA ialah aktiviti jualan secara atas talian bagi memudahkan lagi pihak tertentu membeli beberapa jenis hasil pertanian seperti tembikai, jagung dan rock melon (tembikai wangi).

Katanya, untuk membantu pekebun tembikai Kampung Ubai, Kuantan pihaknya membeli empat tan buah berkenaan dengan harga lantai 70 sekilogram dan pembelian seterusnya dilakukan secara berperingkat.

“Bagi pekebun yang tidak dapat memasarkan hasil pertanian dalam jangka masa panjang, kemudahan bilik sejuk disediakan di beberapa daerah, oleh itu apabila permintaan diterima produk berkenaan akan dikeluarkan.

“Sebelum ini FAMA juga turut mengambil langkah awal dengan menetapkan jadual pengeluaran hasil pertanian yang dipantau dibawah bahagian kontrak pemasaran,” katanya dihubungi, di sini hari ini.

Beliau menambah, kemudahan peti sejuk yang disediakan turut dapat melambatkan berlakunya kerosakan hasil pertanian seperti tembikai, jagung, rock melon dan nanas.

“Pihak FAMA sentiasa memberi perhatian apa juga masalah yang dihadapi pekebun dan usaha membantu mereka dilakukan dengan apa cara bagi memastikan golongan pengeluar berkenaan tidak berhadapan kesukaran seterusnya kerugian.

“Bagi mengelak kerugian ditanggung petani, aktiviti belian hasil ladang dilakukan secara berterusan menggunakan sistem harga lantai atau harga pasaran semasa yang mana lebih tinggi.

“Bagi pekebun yang berhadapan masalah pasaran hasil pertanian mereka saya menyarankan supaya segera berhubung dengan FAMA negeri atau daerah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 5:16pm
    d