mutakhir

Sekatan jalan raya di Kelantan diperketatkan

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

SEKATAN jalan raya di Kelantan terutama di Kota Bharu akan diperketatkan dan hanya mereka mempunyai alasan konkrit sahaja termasuk mereka yang bertugas, yang dibenarkan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata langkah itu perlu diambil memandangkan masyarakat di negeri ini masih memandang ringan arahan yang dikeluarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, melihat kepada jumlah kenderaan yang masih banyak hingga hari ini menunjukkan seolah-olah sekatan yang dilakukan pihak polis tidak memberi sebarang kesan kepada masyarakat.

“Oleh itu berkuatkuasa hari ini, kita mengambil pendekatan lebih tegas terutama di Kota Bharu iaitu hanya membenarkan mereka yang mempunyai urusan penting sahaja termasuk yang bekerja dibenarkan masuk ke bandar.

“Mereka yang menggunakan alasan tidak konkrit termasuk hanya keluar untuk membayar bil elektrik, akan diminta pulang semula.

“Kita akui tindakan yang diambil akan mendatangkan kemarahan di kalangan masyarakat, namun kami terpaksa melakukannya,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di sekatan jalan raya, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, sebanyak 30 sekatan jalan raya dilakukan di Kelantan setakat ini.

Katanya, hingga kini tahap pematuhan masyarakat terhadap PKP di Kelantan berada pada 95 peratus.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 5:27pm
    d