mutakhir

Usaha pemuliharaan penyu diteruskan

JABATAN Perikanan Melaka memberi jaminan tidak akan mengabaikan aspek pemuliharaan penyu karah di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP), Padang Kemunting, Masjid Tanah, Alor Gajah, walaupun pusat itu ditutup kepada pengunjung.

Pemangku Pengarahnya, Nawar Abdul Karim berkata, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19, pusat berkenaan ditutup kepada pengunjung, tetapi usaha pemuliharaan tetap dijalankan seperti biasa.

“Aktiviti mengutip telur penyu oleh renjer di beberapa lokasi tertentu sepanjang pantai negeri tetap berjalan seperti biasa, begitu juga dengan penghantaran telur ke pusat penetasan telur penyu di PKPP.

“Kerja menjaga penyu yang baru menetas dan memelihara penyu karah dewasa berjalan seperti biasa bagi memastikan penyu karah tidak pupus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, usaha berkenaan penting bukan setakat untuk memastikan kesinambungan kehidupan penyu karah, malah memastikan pengunjung terutama pencinta penyu di peringkat tempatan dan asing bakal terus menikmati peluang memerhatikan haiwan itu secara dekat di pusat berkenaan.

Katanya, jabatan itu sentiasa bekerjasama dengan anggota komuniti di kawasan pantai terutama di pantai Melaka Barat dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi, bagi melindungi penyu yang naik ke pantai untuk bertelur.

“Pantai sepanjang 20 kilometer dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi adalah kawasan pendaratan penyu karah iaitu spesies penyu kedua terbesar saiznya selepas penyu lipas, tetapi lebih kecil berbanding penyu agar dan penyu belimbing.

“Purata antara 400 hingga 500 sarang atau pendaratan penyu karah dicatatkan di negeri ini setahun dengan Pantai Padang Kemunting mencatatkan lebih 100 pendaratan, iaitu yang tertinggi berbanding di kawasan lain.

“Pendaratan penyu karah di Pantai Padang Kemunting menyumbang 25 hingga 30 peratus daripada keseluruhan pendaratan di Melaka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 6:00pm
    d