mutakhir

Disiplinkan diri dan jangan keluar rumah

Oleh Zaid Salim

SERAMAI 376 jemaah tabligh dan individu serta warga polis yang sedang menjalani proses kuarantin di rumah masing-masing di Terengganu wajib patuh kepada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sentiasa mendisiplinkan diri untuk terus berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata, peringatan itu dikeluarkan bagi mengelak adanya jangkitan baru Covid-19 yang diihat semakin kronik di seluruh negara.

“Hari ini Perdana Menteri mengumumkan tempoh PKP yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac ini terpaksa dilanjutkan hingga 14 April.

“Jika rakyat terus berdegil dan masih berada di luar rumah tanpa tujuan, tidak mustahil tempoh itu akan dilanjutkan lagi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan 95 peratus yang ditunjukkan masyarakat negeri hingga kini.

Walaupun pematuhan sudah mencapai 95 peratus, namun katanya, polis terpaksa meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan orang ramai yang tidak berkeperluan untuk berada di luar rumah patuh dengan arahan PKP.

“Polis tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas menahan mereka yang berada di luar rumah tanpa tujuan terutama selepas 6 petang hingga 7 pagi,” katanya.

Roslee berkata, bagi memastikan pergerakan orang ramai di negeri ini, pihaknya sudah melaksanakan Op Tutup dengan melakukan 24 sekatan jalan raya di semua pintu masuk negeri dan pusat bandar di seluruh daerah negeri ini.

“Penguatkuasaan sekarang ini kita terpaksa tegas dan keras, menahan dan mendakwa mereka yang sengaja ingkar arahan PKP ini.

“Jika keadaan memaksa, kita akan menambahkan lagi sekatan jalan raya di seluruh negeri,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 25, 2020 @ 9:33pm
    d