mutakhir

Cari 'penyakit'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS menahan 15 individu termasuk dua warga asing yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi pemeriksaan dan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Petaling Jaya sejak semalam sehingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, penahanan itu dibuat kerana kesalahan tiada keperluan pergerakan mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Menurutnya, tangkapan pertama dibuat ke atas dua lelaki warga Myanmar berusia 30-an ketika SJR di Plaza Tol Subang dekat Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) kira-kira jam 4 petang semalam.

“Tangkapan kedua dibuat ke atas tiga lelaki berusia 25 hingga 33 tahun yang duduk berkumpul di kawasan dewan sebuah pangsapuri di Kampung Lindungan, jam 11 malam.

“Selain itu, seorang wanita dan seorang lelaki masing-masing berusia 27 tahun ditahan dalam SJR di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) menghala Plaza Tol PJS 2, jam 2.35 pagi serta jam 4.05 pagi.

“Kita turut menahan tiga lelaki berusia 18 hingga 40 tahun yang menunggang motosikal tanpa sebarang tujuan di Jalan PJU 1/41B Ara Damansara pada jam 3.30 pagi. Polis kemudian menahan lima lelaki berusia 21 hingga 28 tahun yang berkumpul di taman permainan Flat Desa Mentari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya mematuhi PKP dan tidak mengambil remeh mengenai perintah berkenaan.

“Duduk di rumah dan keluar sekiranya ada keperluan mendesak,” katanya yang berharap tahap pematuhan terhadap arahan PKP meningkat 90 peratus.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 1:11pm
    d