mutakhir

Bincang isu solat tarawih berjemaah

Oleh Samadi Ahmad

KERAJAAN belum memberi ketetapan sama ada solat tarawih berjamaah akan dibenarkan di surau dan masjid sebagai langkah menangani penularan wabak Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu sedang dibincangkan selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Walaupun begitu katanya, Zulkifli menegaskan jika wabak itu dapat dibendung dan diatasi dalam tempoh lebih awal, satu arahan baharu akan dikeluarkan.

“Kita memohon perlindungan daripada Allah SWT dan dengan kerjasama rakyat yang berdidikasi serta mematuhi PKP agar penularan wabak Covid-19 segera berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Khas Penyelarasan MUSAADAH COVID19 di Putrajaya, hari ini.

Pada tahun ini tarikh penetapan umat Islam di Malaysia mula berpuasa adalah pada 24 April.

Mesyuarat Khas Penyelarasan MUSAADAH Covid-19 itu bertujuan menyelaras gerak kerja semua agensi di bawah kendaliannya dapat menyalurkan bantuan disalurkan kepada yang terkesan dengan Covid-19.

Bantuan yang diselaraskan di semua negeri itu diberikan tanpa batasan fahaman politik dan agama.

Zulkifli berkata, pihaknya mempunyai beberapa plan bagi solat tarawih berjamaah.

Menurut beliau, apa yang penting adalah kesejahteraan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini supaya tidak wujud dan berjangkit kepada orang ramai.

“Masa itu kita dianggap sudah berjaya kerana dapat membantu usaha mengekang penularan Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 2:41pm
    d