mutakhir

Tolong patuh PKP - Tun M

Oleh Muhammad Saufi Hassan

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan orang ramai supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Menerusi satu video berdurasi tiga minit lapan saat yang dimuat naik di akaun laman sosial miliknya, beliau menyatakan bahawa arahan PKP itu dibuat untuk memutuskan rantaian penularan virus terbabit.

“Sekarang, perintah berkurung atau tidak bergerak (PKP) ini dilanjutkan sehingga 14 April dan walaupun ini menghalang kebebasan kita bergerak tetapi saya fikir ini adalah arahan yang perlu dipatuhi untuk diri kita dan keluar.

“Ini kerana kes penyakit ini bertambah setiap hari dan lebih 100 orang jatuh sakit dan sudah ada mangsa yang meninggal dunia.

“Kalau kita tidak memisahkan diri kita daripada rakan-rakan kita maka, kemungkinan besar penyakit ini akan berterusan sehingga ramai daripada rakyat Malaysia yang menghidap penyakit ini,” katanya menerusi klip video berkenaan yang dimuat naik sebentar tadi.

Dr Mahathir berkata, penyakit ini luar biasa daripada segi jangkitan.

“Dulu, kita pernah mempunyai kes seperti SARS dan H1N1 tetapi kali ini penyakit ini masih tidak mempunyai vaksin untuk menghalang penularannya,” katanya.

Beliau berkata, kaedah terbaik adalah mengasingkan diri daripada bertemu dengan rakan-rakan supaya tidak menerima jangkitan virus berkenaan atau tidak pula menjangkiti orang lain.

“Kita perlu disiplin, jika tidak penyakit ini akan berterusan dan lambat laun kita sendiri akan terkena penyakit ini.

“Oleh itu, penting untuk kita patuhi arahan ini dan Insya-Allah, jika kita patuh serta disiplin, penyakit ini akan berkurangan kelak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 3:35pm
    d