mutakhir

'PKS terjejas teruk, ramai dah putus asa'

Oleh Suraya Roslan

PANDEMIK Covid-19 nyata memberi impak kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas selepas kerajaan memutuskan melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Pemangku Presiden Persatuan Jaringan Bisnes Muslim Malaysia, Mohd Adam Mohd Said berkata, seramai 500 ahlinya terjejas selepas perniagaan mereka tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

“Kami peniaga dalam PKS kini sudah teruk dan ramai yang sudah berputus asa selepas tidak mempunyai sumber untuk mengekalkan operasi mereka.

“Kami tidak boleh membuka perniagaan kerana PKP, malah tidak boleh membayar hutang kerana pelanggan yang berhutang juga tidak boleh membuka perniagaan.

“Selain itu, kami juga tidak boleh membenarkan kakitangan bekerja dari rumah, terutama yang berada di industri runcit, perkhidmatan dan perhotelan.

“Lebih buruk lagi, kami tidak boleh pergi ke luar negara untuk menjalankan perniagaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kerajaan harus memberi perhatian kepada PKS yang bergantung sepenuhnya kepada perniagaan mereka.

“Ramai peniaga berjuang dan bertahan bagi menjelaskan surat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Kami menyedari hakikat pandemik ini perkara yang tidak boleh dielak seperti negara lain juga terjejas teruk, ada yang lebih teruk daripada kami.

“Tetapi kita mahu sedikit perhatian daripada kerajaan untuk melihat nasib peniaga PKS.

“Kami menyambut baik langkah kerajaan melakukan moratorium pinjaman semasa dan pinjaman khas dengan kadar faedah yang rendah untuk PKS yang layak.

“Bagaimanapun, kami mahu moratorium ini diperluaskan kepada syarikat sama ada besar atau kecil yang turut terjejas terutama hotel dan syarikat penerbangan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 8:23pm
    d