mutakhir

Set janakuasa TNB bantu keperluan laksana PKP

Oleh Suraya Roslan

SEJAK bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil langkah proaktif menyediakan 79 set janakuasa bergerak dengan pelbagai kapasiti di seluruh negara.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, set janakuasa mudah alih juga digerakkan dan berada dalam keadaan bersedia sekiranya diperlukan.

“Sistem bekalan elektrik ke hospital yang menjadi pusat perubatan bagi menangani wabak virus Covid-19 turut diperkukuhkan antaranya Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.

“Saya berkeyakinan penuh terhadap kesiapsiagaan bekalan elektrik di Semenanjung dalam menghadapi cabaran PKP berkuatkuasa sejak 18 Mac lalu,” katanya dalam sesi lawatan ke Pusat Kawalan Wilayah Selatan dan Metro serta National Load Dispatch Centre di Ibu Pejabat TNB Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Shamsul Anuar menerima taklimat daripada Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Turut hadir Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Ali Biju, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Zurinah Pawanteh, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Noor Afifah Abdul Razak dan Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Tenaga Ir Abdul Rahim Ibrahim.

Shamsul Anuar berkata, TNB berperanan penting ketika negara bertungkus-lumus menangani virus Covid-19.

“Saya melihat persiapan yang dilakukan TNB dan saya yakin dengan usaha mereka, tentunya ketika rakyat Malaysia mematuhi perintah untuk berada di rumah, warga kerja TNB berperanan penting memastikan bekalan elektrik yang stabil dapat dinikmati semua.

“Malah saya dimaklumkan TNB bersedia memastikan bekalan elektrik ke hospital, baik di bandar atau klinik kesihatan di luar bandar terjamin,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 8:35pm
    d