mutakhir

AirAsia gantung sementara penerbangan

Oleh Bisnes HM

KUMPULAN AirAsia melaksanakan penggantungan sementara untuk hampir semua penerbangan dalam rangkaiannya berikutan sekatan perjalanan oleh beberapa negara akibat pandemik wabak Covid-19.

Kumpulan AirAsia dalam kenyataan berkata, langkah berkenaan dipersetujui oleh syarikat-syarikat penerbangan yang dikendalikan di bawah Kumpulan AirAsia dan Kumpulan AirAsia X.

Katanya, Kumpulan akan terus mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan penumpang dan kakitangannya.

“Kami memainkan peranan dalam membantu usaha kerajaan yang mengenakan sekatan perjalanan dan perintah kawalan pergerakan termasuklah perintah kuarantin di rumah untuk mencegah penyebaran virus dan menjadikan penerbangan lebih selamat untuk semua.

“Kami akan terus memantau keadaan semasa dan bersedia untuk memulakan penerbangan kami secepat mungkin apabila keadaan bertambah baik dan tertakluk kepada kelulusan daripada pihak kawal selia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua penumpang yang terjejas akan segera dimaklumkan melalui e-mel dan SMS.

Mereka mempunyai pilihan untuk menukar tempahan penerbangan kepada Akaun Kredit yang boleh ditebus dalam masa 365 hari kalendar, atau menukar kepada tarikh baharu tanpa had dan bayaran sebelum 31 Oktober 2020.

Bagi penerbangan di bawah AirAsia Malaysia (AK), penggantungan sementara ini membabitkan laluan antarabangsa dan domestik dari 28 Mac hingga 21 April 2020.

Bagi AirAsia X Malaysia (D7) yang hanya mengendalikan laluan antarabangsa, ia menggantung hampir semua perjalanan dari 28 Mac hingga 31 Mei 2020.

AirAsia Indonesia (QZ) pula, ia mengurangkan jumlah penerbangan antarabangsa dan laluan domestik masih beroperasi namun, dengan kurang kekerapan.

Bagi AirAsia Filipina (Z2), penggantungan sementara membabitkan semua penerbangan dari 20 Mac hingga 14 April 2020 berikutan tempoh kuarantin komuniti di Luzon dan kawasan lain di negara berkenaan.

AirAsia Thailand (FD) pula menggantung penerbangan antarabangsa dari 22 Mac hingga 25 April 2020 dan laluan domestik masih beroperasi dengan kekerapan rendah.

Manakala, AirAsia India menggantung semua laluan dari 25 Mac selama 21 hari berikutan pengumuman kerajaan India untuk menggantung semua laluan domestik di India.

Bagi AirAsiaX Thailand, semua penerbangan digantung sementara waktu sejak 16 Mac lalu selama tiga bulan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 26, 2020 @ 9:00pm
    d