mutakhir

Tiga ditahan ingkar PKP

Oleh Zaid Salim

AKIBAT ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bermain sepak takraw, bola tampar dan berada di jalan raya tanpa tujuan, tiga lelaki ditahan

di dua daerah di Terengganu, semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, tiga lelaki membabitkan pelajar, pekerja kontrak pembersihan dan pekerja kilang sawit berusia 17, 26 dan 38 tahun itu ditahan anggota yang melakukan rondaan Op Covid-19, PKP secara berasingan di Marang dan Kuala Nerus.

Katanya, polis Terengganu mula bertindak tegas dalam mengawal pergerakan orang ramai supaya mematuhi PKP berikutan ada pihak yang masih degil dan sengaja ingkar dengan arahan itu.

“Tangkapan pertama membabitkan pelajar tingkatan lima dilakukan di Kampung Sungai Kerak Fasa 3, Marang pada 6.15 petang,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Roslee berkata, tangkapan kedua membabitkan lelaki berusia 38 tahun dari Kampung Alor Tuman, Marang, ditahan ketika bermain bola tampar di kawasan pantai berhampiran rumahnya pada 7 malam.

“Rakan-rakannya berjaya melarikan diri,” katanya.

Bagi tangkapan ketiga katanya, pekerja swasta berusia 26 tahun ditahan kerana menunggang motosikal tanpa tujuan di kawasan Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus, 4.15 petang.

Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana ingkar arahan PKP dan Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

“Lelaki berusia 26 tahun itu turut disiasat mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 9:00am
    d