mutakhir

Bekalan bahan mentah di Johor mencukupi

Oleh Omar Ahmad

RAKYAT negeri ini tidak perlu risau mengenai bekalan makanan basah utama kerana ia mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Samsolbari Jamali berkata, bekalan makanan basah utama seperti sayur, ikan, ayam dan daging mentah di seluruh negeri ini mencukupi sehingga kini.

Katanya, orang ramai tidak perlu risau kerana Johor juga adalah negeri pengeluar utama sayur, buah dan pembekal utama ayam, telur ayam dan daging di negara ini.

“Bekalan ikan juga mencukupi kerana aktiviti penternakan dan penangkapan ikan masih berjalan seperti biasa, biarpun operasi bagi beberapa bot pukat tunda terpaksa dihentikan.

“Walaupun terdapat sedikit gangguan logistik akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun pembekal diminta menghubungi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk mendapatkan surat kebenaran supaya isu pengangkutan dapat diselesaikan.

“Sehingga kelmarin, sebanyak 212 Surat Pengesahan Aktiviti Rantaian Makanan Dan Notis Pengoperasian Premis Rantaian Bekalan Makanan dikeluarkan Jabatan Pertanian Negeri Johor,’ katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, orang ramai juga boleh terus mendapatkan bekalan mentah di Pasar Tani Kekal (PTK) yang masih lagi beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh PKP.

Katanya, terdapat 27 Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) dan sembilan Agrobazaar Rakyat (ABR) di seluruh negeri Johor.

“Tidak dapat dinafikan bahawa golongan petani menghadapi kerugian kerana faktor kurangnya permintaan, penolakan daripada pemborong dan lokasi jualan serta pasar tani yang ditutup.

“Kita menjangkakan anggaran kerugian sebanyak RM1.5 juta dialami oleh petani sepanjang tempoh PKP sehingga hari ini,”

katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 1:50pm
    d