mutakhir

Pelajar tingkatan tiga, lima tekun belajar melalui ePdPc

Oleh Yusmizal Dolah Aling

BIARPUN sesi persekolahan tergendala ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tidak menghalang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi meneruskan pengajian dan pembelajaran seperti biasa.

Bezanya kali ini, mereka menggunakan teknologi semasa iaitu Pembelajaran dan Pemudah cara secara maya (ePdPc) melalui aplikasi Google Hangouts dan Google Classroom sejak Selasa lalu.

Setiap hari purata seramai kira 30 pelajar sekolah itu akan berada di depan komputer riba atau telefon pintar masing-masing mengikut jadual waktu persekolahan untuk belajar secara interaktif bersama guru mereka.

Guru, Mohamad Jalil Mohamad Yunus berkata, untuk pelajar sesi pagi persekolahan, ePdPc bermula pada 7.30 pagi. Manakala, persekolahan sesi petang, ePdc bermula antara 9 pagi hingga 3.30 petang mengikut jadual waktu persekolahan biasa.

"Kelas cara maya ini mengikut jadual kelas harian biasa. Setiap guru akan berinteraksi dengan pelajar pada masa yang sama, cuma lokasi berbeza.

"Setakat ini alhamdulillah lancar, pelajar tingkatan tiga dan lima mengikuti pengajian dengan penuh tekun," katanya kepada Harian Metro.

Mohamad Jalil berkata, pada peringkat awal, guru diberi taklimat mengenai cara menggunakan aplikasi Google Hangouts dan Classroom ini bagi membolehkan mereka membiasakan diri dengan penggunaan gajet atau komputer riba.

Katanya, lokasi sekolah yang terletak di tengah bandar menjadikan cara pembelajaran sebegitu menjadi lebih mudah kerana akses kepada liputan yang menyeluruh.

"Pun begitu ada ketikanya liputan terganggu dan kami perlu memastikan kelas berjalan dan semua pelajar sama ada menggunakan apa juga jenis peranti dapat mengikutinya.

"Saya juga mewujudkan kumpulan dalam Telegram untuk berkongsi ilmu yang saya dapat kepada guru lain untuk memudahkan pembelajaran," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan (KKPK) Aminuddin Awang berkata, pihaknya mengalu-alukan kaedah pembelajaran sebegitu bagi mengisi masa pelajar dan guru dalam tempoh PKP.

Katanya, ia menunjukkan inisiatif guru itu sendiri untuk terus mendidik walaupun tidak melalui sesi persekolahan biasa.

"Katanya, kaedah sebegitu sudah dipraktikkan sebelum ini namun tidak secara menyeluruh kerana masalah lokasi, liputan serta kemudahan teknologi.

"Bagi kawasan bandar, kita rasa tak ada masalah, tetapi kita juga perlu lihat di luar bandar. Setakat ini yang dapat menggunakan kaedah ePdPc ini hanya sekolah tertentu.

"Jadi untuk jangka masa panjang, kita syorkan supaya lebih banyak sekolah mendapat kemudahan seperti ini agar kita dapat luaskan cara pembelajaran bukan saja pada waktu PKP malah pada waktu lain juga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 2:54pm
    d