mutakhir

Jangan risau, semua kerajaan tanggung

Oleh Adnan Ibrahim

PENDUDUK Kampung Datuk Ibrahim Majid serta kampung rangkaian di Simpang Renggam yang terbabit dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sehingga 9 April ini tidak perlu bimbang dengan bekalan makanan kerana semuanya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, kebajikan penduduk akan dipastikan terjaga walaupun berada di bawah PKPD yang memerlukan untuk terus berada di kediaman masing-masing pada setiap masa.

Katanya, apa yang perlu dilakukan oleh penduduk adalah mematuhi arahan serta terus duduk di rumah masing-masing kerana hanya dengan cara itu sahaja wabak Covid-19 boleh disekat rantaian penyebarannya.

“Bantulah kerajaan atasi penyebaran wabak ini bagi membolehkan ia ditamatkan secepat mungkin tanpa membabitkan lebih ramai mangsa,” katanya.

Vidyananthan berkata demikian selepas meninjau persiapan Bilik Gerakkan Bencana Covid-19 Kampung Datuk Ibrahim Majid di Dewan Orang Ramai Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu dan Yang Dipertua MDSR, Mohamad Sukry Abd Rahim.

Vidyananthan berkata, MDSR akan menyelaras bilik gerakan yang diaktifkan sepanjang 24 jam di bawah pemantauan Pejabat Daerah Kluang dan kerajaan negeri.

“Untuk penduduk kampung, tiada pergerakan keluar masuk termasuk pelawat kecuali agensi yang mempunyai kelulusan seperti petugas yang mengedarkan bekalan makanan kepada penduduk.

“Pusat Kesihatan sementara yang disediakan di Sekolah Kebangsaan Kampung Datuk Ibrahim Majid akan dijadikan kemudahan kepada penduduk untuk membuat saringan serta pemeriksaan kesihatan mereka,” katanya.

Menurut Vidyananthan, semua urusan agihan lojistik dan makanan akan diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kluang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 3:04pm
    d