mutakhir

Susah sangat ke nak patuh PKP?

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

MAJLIS Daerah Sabak Bernam (MDSB) mengeluarkan 29 notis peringatan dan satu notis kesalahan kepada pemilik premis serta penjaja sekitar daerah ini kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua MDSB Mohd Faizul Fitri Muslil berkata, selain notis, pihaknya turut menyita lima premis dan gerai penjaja ekoran tidak patuh pada PKP.

Beliau berkata, hasil pemantauan dan rondaan pasukan yang menggabungkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan MDSB bagi PKP, pihaknya mendapati kira-kira 90 peratus peniaga mematuhi arahan itu.

“Kami dapati segelintir peniaga gagal mematuhi PKP dengan melakukan kesalahan seperti menjual makanan dan minuman kepada pelanggan secara terbuka.

“Kesalahan lain dilakukan peniaga termasuk menyediakan makanan dan minuman kepada pelanggan serta membenarkan pelanggan berkumpul di premis,” katanya dihubungi hari ini.

Mohd Faizul berkata, pihaknya memandang serius terhadap beberapa pengusaha premis makanan yang membenarkan premis mereka menjadi tempat orang ramai berkumpul.

“Kami beri peringatan kepada semua pemilik premis supaya mematuhi arahan PKP. Tindakan lebih tegas akan diambil terhadap pihak yang berdegil,” katanya.

Beliau berkata, rondaan diketuai anggota PDRM juga akan dijalankan dua kali sehari di daerah ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 3:36pm
    d