mutakhir

Mengamuk cuba serang petugas PKP

Oleh Juwan Riduan

SEORANG lelaki mengamuk dan cuba menyerang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Jeti Pasar Besar di sini, semalam selepas tidak dibenarkan ke Pulau Gaya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, suspek berusia 40 tahun dikatakan mahu pulang ke rumahnya di Pulau Gaya, selepas membantu rakannya menjual ikan di Pasar Besar Kota Kinabalu.

Bagaimanapun dua anggota Rela yang menjalankan tugas PKP di Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu tidak membenarkan suspek menaiki bot dan meminta menunggu sehingga jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek yang tidak berpuas hati kemudian menghampiri dua anggota Rela sambil kedua-dua tangan memegang batang kayu.

“Suspek berang dan mempersoalkan larangan walaupun anggota Rela itu menerangkan pergerakan ke pulau hanya dibenarkan jam 5 petang hingga 7 malam seperti arahan PKP.

“Namun suspek bertindak agresif dan menjerit dia tidak takut mati. Anggota Rela kemudian meminta bantuan polis sebelum suspek berjaya ditahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, ketika dibawa menaiki van polis, suspek bertindak memecahkan tingkap cermin belakang van itu menggunakan kepalanya untuk meloloskan diri namun berjaya dihalang.

“Akibat tindakan itu, suspek cedera di kepala dan lengan kirinya. Suspek kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 6:51pm
    d