mutakhir

Remaja ditahan ingkar PKP

Oleh Omar Ahmad

TIGA remaja antara 11 lelaki ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mersing, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, tangkapan dilakukan terhadap mereka berusia 15 hingga 35 tahun di bawah mengikut Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020).

Katanya, tangkapan pertama dibuat ke atas tiga lelaki dalam rondaan Op Covid-19 di Jalan Besar Felda Tenggaroh 5 di sini, kira-kira 11.15 malam.

“Ketiga-tiga lelaki itu gagal memberi keterangan munasabah mengenai pergerakan mereka.

“Kira-kira jam 1 pagi, sekumpulan lelaki sedang berkumpul di bawah pokok di belakang sebuah rumah di Kampung Makam. Mereka cuba melarikan diri, namun pihak polis berjaya menahan dua lelaki.

“Manakala pada jam 2.05 pagi polis menahan enam lelaki sedang berkumpul Jalan Peria Taman Sri Nakhoda,” katanya.

Menurut Cyril, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Mersing untuk tindakan lanjut kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 7:00pm
    d