mutakhir

Polis Sarawak terima PPE tambahan

Oleh Mohd Roji Kawi

POLIS Sarawak hari ini menerima peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk kegunaan pegawai dan anggotanya yang bertugas di barisan hadapan ketika negara dilanda wabak Covid-19.

PPE berkenaan diterbangkan khas dengan pesawat King Air Beechcraft 350 dari Kuala Lumpur yang dikendalikan Superintendan Jimmy Roy Bada tiba di Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sarawak pada jam 11 pagi tadi.

Komander PGU Sarawak, Asisten Komisioner Alias Abdul Wahab berkata, ia adalah penghantaran pertama menggunakan pesawat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.

“Hari ini, sebanyak 400 kilogram PPE iaitu topeng mulut dan hidung, sarung tangan serta cecair sanitizer dihantar dari Kuala Lumpur untuk diagihkan kepada semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Sarawak.

“Ini adalah penghantaran pertama menggunakan pesawat PDRM kerana sebelum ini penghantaran dibuat menerusi penerbangan komersial,” katanya.

Alias berkata, beliau difahamkan semua PPE itu adalah sumbangan orang awam untuk membantu PDRM memastikan semua anggotanya mendapat perlindungan sewajarnya ketika melaksanakan tugas di barisan hadapan.

“Selepas ini, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak akan mengagihkan ke semua IPD dengan kawasan yang jauh di pedalaman seperti Kapit, Song dan Belaga penghantaran seterusnya akan dilakukan menggunakan bot,” katanya.

Sementara itu, Alias berkata PGU Sarawak dijangka memiliki pangkalan sendiri tidak lama lagi.

“Kami menumpang di hangar Hornbill Skyway sejak 2000 dan selepas ini penugasan PGU menjaga keselamatan Sarawak dijangka akan beroperasi dari pangkalan sendiri,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 7:08pm
    d