mutakhir

Waktu keluar masuk sempadan Sarawak-Brunei dipendekkan

Oleh Mohd Roji Kawi

WAKTU operasi pintu masuk sempadan Sarawak dan Brunei dipendekkan dua jam berkuat kuasa mulai esok hingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, waktu operasi baharu mulai jam 6 pagi hingga jam 6 petang itu adalah selaras dengan penetapan waktu imigresen Brunei.

“Sebelum ini waktu beroperasi adalah dari 6 pagi hingga 8 malam namun mulai esok pintu sempadan ditutup pada jam 6 petang.

“Sehubungan itu, semua rakyat Sarawak harus mamatuhi arahan PKP,” katanya pada sidang media khas di Wisma Bapa di sini, hari ini.

Pintu sempadan utama antara Sarawak dan Brunei ialah Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Sungai Tujuh, Mengkalap, Tedungan dan Pandaruan.

Sementara itu, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Sarawak mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 apabila 15 disahkan dijangkiti wabak itu, hari ini.

Ia menjadikan jumlah kes positif di negeri ini meningkat kepada 110 sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac.

“Semua kes baharu ini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan sembilan adalah lelaki dan enam adalah wanita.

“Hari ini juga sebanyak 27 kes baharu orang dalam siasatan (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 983 kes dan 841 daripadanya disahkan negatif manakala 32 lagi masih menunggu keputusan makmal.

Dalam perkembangan berasingan, Uggah berkata, bagi menghadapi sebarang kemungkinan, JPBN memutuskan untuk memindahkan pesakit bukan jangkitan Covid-19 dari HUS ke hospital lain yang berdekatan untuk memastikan mereka terus diberikan perkhidmatan kesihatan terbaik.

“Kami memutuskan pesakit yang tiada kaitan dengan Covid-19 akan dipindahkan ke Hospital Serian, Hospital Bau dan Pusat Jantung HUS di Kota Samarahan.

“Selain itu, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan pihak hospital swasta mengenai perkara sama sekiranya perlu memindahkan pesakit ke hospital mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 7:08pm
    d