mutakhir

Pernah terima bantuan MAINJ

Oleh Omar Ahmad

WANITA yang ditemukan polis bersama suami dan anak berusia setahun di taman permainan ketika menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Taman Tampoi Indah semalam, pernah menerima bantuan sara hidup Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Amil Baitulmal Johor Bahru, Muhammad Zakuan Ghazali berkata, nama wanita itu ada dalam rekod bantuan MAINJ sejak 2014.

Bagaimanapun bantuan sara hidup itu tamat pada Oktober tahun lalu kerana wanita terbabit berkahwin baru.

“MAINJ sudah menyampaikan bantuan RM300 ‘one off’ kepada mereka bagi membeli barangan sepanjang (PKP) dan bantuan sara hidup bulanan akan disambung semula“, katanya ketika dihubungi.

Semalam, ketika Op Covid-19 dijalankan oleh dua anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Koperal Mohd Hisham Mustafa dan Konstabel Mudrikah Nazirul Nordin menemukan wanita itu bersama suami dan anak perempuannya di taman permainan.

Ketika dua anggota polis itu meminta mereka supaya pulang ke rumah, bagaimanapun wanita itu menangis kerana mereka kehabisan bekalan makanan di rumah dan tidak mempunyai wang.

Hantaran itu dimuat naik di Facebook rasmi Polis Johor, memaklumkan anggota terbabit membawa keluarga itu ke kedai runcit berdekatan dan membelikan susu kepada anak pasangan terbabit serta barangan makanan.

Keluarga berkenaan tinggal di Taman Tampoi Indah dengan menyewa bilik. Suaminya tidak lagi berkerja sambilan di Singapura kerana tiada permit kerja manakala isteri seorang tukang cuci di Larkin dan kini diarahkan bercuti.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 7:31pm
    d