mutakhir

Perintah 'berkurung' dilanjut ke daerah lain...? [METROTV]

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BEBERAPA daerah lain di negara ini bakal diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selain Simpang Renggam, Johor jika wabak Covid-19 terus menular.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, tindakan PKPD di Simpang Renggam diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri selepas dipersetujui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sebenarnya kita lebih menumpukan kawasan yang diwartakan sebagai Zon Merah ketika ini, sebelum membuat sebarang keputusan seperti di Simpang Renggam.

“Bagi kawasan yang sudah diisytiharkan Zon Merah ini, kita akan perketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar kembali kepada Zon Hijau.

“Justeru bagi 39 daerah yang kekal sebagai Zon Hijau, Jawatankuasa Tindakan Daerah di bawah seliaan Pegawai Daerah bersama pimpinan tempatan perlu memainkan peranan agar memastikan daerah masing-masing kekal selamat daripada virus Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Klinik Kesihatan Gunung Semanggol, Bagan Serai, hari ini.

Ditanya mesej tular di laman sosial mengenai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengesan individu yang hadir pada majlis akad nikah di Bangi dan majlis perkahwinan di Putrajaya, pihaknya belum mendapat sebarang maklumat kesahihan perkara itu.

“Namun, KKM menasihatkan sesiapa sahaja yang hadir pada sebarang majlis keramaian di penghujung Februari dan awal bulan ini disarankan membuat ujian saringan kesihatan.

“Kita sebenarnya amat bimbang berikutan beberapa kes positif Covid-19 dikesan berpunca daripada majlis sebegitu seperti yang berlaku di Teluk Intan.

“Jangan sorok cerita, jika ada pergi kenduri dalam tempoh itu, terus-terang sahaja dan jika ada simptom awal Covid-19, segeralah pergi di mana-mana klinik kesihatan atau hospital untuk membuat pemeriksaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 8:20pm
    d