mutakhir

Tutup jalan sahaja, bukan 'lockdown' - KPD PJ

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

POLIS menutup Jalan 5/46 Gasing Indah, di Petaling Jaya yang bersempadan dengan Jalan Pantai Dalam Kuala Lumpur bagi pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP), hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, penutupan jalan itu dibuat bagi melancarkan aliran trafik di lokasi berkenaan.

“Penutupan jalan itu bagi membolehkan sekatan jalan raya dilakukan secara menyeluruh di kawasan berkenaan.

“Pada masa sama, ia boleh mengelakkan ada pengguna jalan raya yang melanggar arahan PKP dengan menggunakan laluan lain bagi mengelak sekatan jalan raya di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beberapa gambar menunjukkan jalan berkenaan ditutup tular di media sosial sejak petang tadi sehingga ada segelintir pihak mendakwa pihak berkuasa melakukan ‘lockdown’ di kawasan itu.

Selain itu, jalan sekitar kawasan Kota Damansara, Petaling Jaya juga ditutup bermula 8 pagi esok bagi pelaksanaan PKP.

Antara jalan terbabit dengan penutupan berkenaan termasuk Jalan Persiaran Mahogani Seksyen 9, Jalan Persiaran Jati Seksyen 8 dan Jalan Persiaran Sungai Buloh (TSB).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 9:59pm
    d