mutakhir

TNB hulur sumbangan RM150 juta

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menyediakan sumbangan tambahan berjumlah RM150 juta bagi menyokong usaha terbaru kerajaan membantu rakyat menerusi pemberian rebat elektrik berperingkat.

Hampir 90 peratus pengguna domestik di Semenanjung Malaysia akan menerima rebat 15 hingga 50 peratus secara automatik bermula 1 April 2020 hingga 30 September 2020, dengan rebat tertinggi sebanyak 50 peratus diterima kumpulan B40.

Rebat berkenaan akan tertera pada bil elektrik mulai Mei 2020.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka melembapkan aktiviti ekonomi dan memberi impak mendalam dengan keadaan semasa.

“Sebagai organisasi yang sentiasa mengutamakan rakyat, TNB menyokong penuh usaha kerajaan untuk meringankan beban mereka yang benar-benar memerlukan dan komited untuk menyalurkan dana dengan inisiatif memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Minggu lalu, TNB juga menyumbang sebanyak RM10 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membantu menambah bekalan perubatan yang semakin berkurangan, terutama di institusi perubatan dan kesihatan negara yang menjadi barisan hadapan negara dalam menangani koronavirus baharu (Covid-19).

Beliau berkata, lembaga pengarah TNB juga telah meluluskan tambahan sumbangan sebanyak RM10 juta yang akan disalurkan ke beberapa hospital lain di seluruh negara.

“Tumpuan kami kini adalah membantu KKM untuk memerangi Covid-19 dan menolong rakyat daripada golongan yang mudah terkesan.

“Ia akan menjadi satu perjuangan yang panjang dan TNB akan terus bersama rakyat Malaysia untuk menghadapinya,” katanya.

Sementara itu, di bawah rebat berperingkat terbabit, tiga juta pengguna domestik (penggunaan bulanan bawah 200kWh) akan menerima rebat 50 peratus, manakala 1.5 juta pengguna (penggunaan bulanan antara 201 kWh dan 300kWh) menerima rebat 25 peratus dan 2.2 juta pengguna (penggunaan bulanan antara 301kWh dan 600kWh) menerima rebat 15 peratus.

Rebat elektrik ini akan disubsidi secara bersama oleh kerajaan, TNB serta dana daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 12:05am
    d