mutakhir

'Berkurung seperti zaman komunis, Jepun' [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

“NENEK tak tahu apa sedang berlaku sekarang ini, tapi anak saudara nenek beritahu tak boleh keluar rumah sebab nanti kena penyakit. Duduk berkurung kat rumah macam ni, teringat zaman komunis dulu,” luah seorang wanita warga emas.

Pada usia 92 tahun, Che Som Che Mat mengharapkan cucunya untuk menerangkan mengenai situasi berlaku sekarang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan kerajaan akibat wabak Covid-19.

Wartawan berpeluang bertemu mata dengan warga emas terbabit ketika menyertai program badan bukan kerajaan (NGO), Thirdforce menyampaikan sumbangan makanan kepada mereka yang memerlukan sepanjang PKP.

Che Som yang hanya mampu mengengsot akibat sakit tua sejak tiga tahun lalu, masih semangat menceritakan pengalamannya yang terpaksa berkurung di rumah ketika zaman komunis sekitar 1948 sehingga 1960.

“Sepanjang hidup nenek, selepas kejadian zaman komunis dan penjajahan Jepun, baru kali inilah merasa kembali situasi sebegini.

“Memang tak sama apa yang sedang kita hadapi sekarang, tapi maksud nenek daripada segi kena berada di rumah.

“Bila dengar orang cerita tentang wabak penyakit ini, nenek sendiri rasa takut dan menasihatkan semua keluarga terdekat supaya dengar sahaja perintah kerajaan kalau tidak mahu keadaan semakin teruk.

“Apalah sangat setakat kena duduk rumah berbanding dengan situasi zaman dahulu yang dihantui rasa takut dengan tentera komunis dan Jepun sehingga nak makan pun kena catu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telaga Mas, Rantau Panjang, semalam.

Dia yang ada masanya mengelak daripada dirakam melalui telefon berkata, baginya apa yang berlaku sekarang jauh lebih baik, tetapi perlu berwaspada kerana wabak penyakit itu tidak dapat dilihat dengan pandangan mata.

Katanya, dia merasai zaman darurat (komunis) ketika berusia 20-an sehingga terpaksa melarikan diri ke Thailand kerana sukar untuk mendapatkan makanan selain risau dengan keselamatan diri.

“Alhamdulillah, bagi nenek situasi sekarang ini masih dihadapi dalam keadaan aman dan tenteram. Sepatutnya semua kena bersyukur ditambah pula dengan pemimpin yang peka dan cakna tentang rakyat.

“Ikut sahaja apa saranan kerajaan, supaya negara kita selamat daripada wabak penyakit ini. Kalau terus berdegil, kita yang terima padahnya.

“Nenek mungkin dah tua untuk bagi nasihat tetapi pengalaman menghadapi zaman sebelum ini cukup untuk membuat semua sedar betapa pentingnya memastikan negara kita selamat bukan sahaja daripada penjajah, malah sebarang masalah seperti serangan wabak penyakit ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 12:13pm
    d