mutakhir

Degil sungguh...

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

POLIS menahan 28 lelaki termasuk warga asing sekitar Perlis selepas mereka didapati mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Seramai 18 individu ditahan di sekitar Kangar, manakala 10 lagi ditahan di beberapa kawasan di Arau dengan semua mereka berusia antara 16 hingga 45 tahun.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata mereka ditahan ketika leka melakukan aktiviti perniagaan dan berkumpul pada waktu tidak dibenarkan.

“Seramai tujuh lelaki ditahan ketika sibuk melakukan aktiviti jual beli di sebuah premis perniagaan di Kuala Sanglang selepas 10 malam, empat lelaki bermain sepak raga di Kampung Teluk Jambu, tiga lelaki kerana berkumpul di halaman rumah di Simpang Empat.

“Manakala empat lagi ketika merayau sekitar bandar Kangar dan pekan Kuala Perlis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, pihaknya menahan 10 lelaki kerana berkumpul dan merayau sekitar bandar Arau dan Tambun Tulang.

“Ketika ditahan mereka memberi alasan tidak munasabah dan sebahagian daripada mereka melakukan kesalahan kerana berkumpul.

“Mereka direman empat hari bermula hari ini mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (langkah-langkah di dalam kawalan tempatan jangkitan 2020),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 3:29pm
    d