mutakhir

SOP baharu PKP diumum Isnin

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PROSEDUR operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) peringkat kedua dijangka diumumkan Isnin, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta memperkenalkan SOP baharu dengan peraturan lebih tegas berbanding dilaksanakan ketika ini.

“SOP baharu itu baru dibentangkan hari ini. MKN mencadangkan beberapa tempat ditutup atau dihadkan masa, ia mungkin membabitkan kementerian lain yang perlu diteliti.

“Misalnya industri kilang banyak kita cadangkan ditutup, namun pandangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) perlu kita peroleh terlebih dahulu. Begitu juga dengan (industri) makanan.

“Kita akan cuba dapatkan pandangan lebih lanjut daripada kementerian berkaitan supaya apabila kita putuskan kawalan lebih tegas ini, ia tidak terlalu menyusahkan orang ramai,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri berkenaan pelaksanaan PKP di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan bakal menguatkuasakan SOP lebih tegas dalam pelaksanaan PKP peringkat kedua bermula 1 hingga 14 April ini.

Penguatkuasaan tegas itu diharapkan lebih berkesan supaya PKP tidak perlu dilanjutkan lagi selepas 14 April.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan dijadikan pusat pengumpulan sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum diagihkan kepada golongan sasar.

“Kerajaan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan NGO membantu rakyat. Bagaimanapun kita tidak boleh membenarkan mereka bebas keluar dengan alasan menghantar makanan.

“Oleh itu, pejabat JKM setiap daerah akan digunakan sebagai pusat pengumpulan. Penghantaran barangan dari rumah ke rumah akan dilakukan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.


Beliau berkata, ia bertujuan mengurangkan pergerakan sukarelawan NGO untuk menghantar makanan di sesuatu kawasan sepanjang tempoh PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 3:39pm
    d