mutakhir

Agih 10,000 bungkus roti

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

ISU kekurangan bekalan roti berikutan permintaan meningkat secara mendadak susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong Roti Fuji Bakery Terengganu menyumbangkan lebih 10,000 bungkus roti kepada penduduk di negeri itu.

Agihan roti itu dijalankan di Kampung Langkap dan Kampung Chalok Barat, Setiu selain di beberapa kampung sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Malah agihan roti secara percuma dijalankan dua kali seminggu itu turut diserahkan kepada petugas barisan hadapan Covid-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), polis Kuala Terengganu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu dan Klinik Kesihatan Bukit Payong.

Pengurus Roti Fuji Bakery Terengganu, Mohd Sufian Mat Noor berkata, pemberian roti secara percuma itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh PKP dilaksanakan sehingga 14 April ini.

“Biarpun permintaan terhadap roti semakin meningkat sehingga berlaku masalah kekurangan bekalan, ia tidak menghalang syarikat untuk membuat kebajikan dan mengenepikan keuntungan.

“Harapan kami supaya pemberian roti secara percuma kepada semua petugas barisan hadapan Covid-19 itu memberi semangat seterusnya menghargai pengorbanan semua petugas.

“Bukan sahaja mereka diraikan, tetapi golongan kurang bernasib baik yang terikat dengan arahan PKP turut menerima sumbangan sama,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 4:48pm
    d