mutakhir

Guna helikopter hantar stok makanan [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

STOK beras untuk keperluan 2.8 juta rakyat Sarawak dijamin mampu bertahan untuk tempoh tiga bulan lagi.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, secara purata penduduk negeri itu menggunakan 300 tan metrik beras sehari atau 9,300 tan metrik sebulan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan Sarawak memberi jaminan bekalan beras mencukupi untuk menampung keperluan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April depan.

“Cuma sekarang kita meminta pembekal meningkatkan stok bekalan keperluan makanan lain seperti gula, tepung, minyak masak serta gas memasak kepada tiga bulan kerana stok sedia ada hanya mampu bertahan sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan bekalan makanan di dua pasar raya besar di Kuching, hari ini yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri bersama Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.

Abang Johari berkata, untuk memastikan rantaian bekalan makanan tidak menghadapi masalah, kerajaan Sarawak juga sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas Bekalan Makanan yang diketuai Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

“Jawatankuasa itu juga bertanggungjawab untuk memastikan bekalan makanan asas di seluruh negeri khususnya di kawasan luar bandar mencukupi.

“Kita juga sudah meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk memastikan penghantaran bekalan makanan ke kawasan luar bandar seperti di Bario, Belaga, Ba’kelalan, Long Semado, Hulu Baram, juga di kawasan Sri Aman dan Pulau Bruit di Daro berjalan lancar,” katanya.

Menurutnya, disebabkan ia perlu dilakukan segera, kerajaan Sarawak akan meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menggerakkan aset masing-masing bagi penghantaran ke pusat jualan di kawasan pedalaman.

“Kos operasi aset milik agensi terbabit termasuk helikopter akan ditanggung oleh kerajaan Sarawak. Kita tidak mahu penghantaran mengambil masa yang lama, misalnya untuk ke Bario, biasanya penghantaran dilakukan melalui jalan balak yang perjalanannya panjang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 6:17pm
    d