mutakhir

Ingkar PKP: Warga Nigeria cuba bertindak agresif

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

MASIH degil. Itu dapat digambarkan apabila seramai 32 individu ditahan polis kerana tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Petaling Jaya ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, semua berusia antara 14 hingga 65 tahun itu ditahan menerusi 16 pemeriksaan dan sekatan jalan raya yang dilakukan semalam serta hari ini.

Menurutnya, dalam pemeriksaan pada 11.50 pagi semalam hingga 1.30 pagi tadi mendapati masih ada yang keluar rumah tanpa alasan munasabah, melepak di kedai makan, berkumpul sambil minum minuman keras dan berada di tepi jalan.

“Antara ditahan seorang lelaki warga Nigeria berusia 49 tahun kerana tidak memberi alasan munasabah semasa pemeriksaan di Plaza Tol Subang menghala Petaling Jaya. Suspek bertindak agresif dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Polis turut menahan lelaki berusia 28 tahun di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) kerana gagal memberi alasan munasabah keluar rumah dan cuba membuat provokasi dengan mempertikaikan sebab dia tidak boleh berada di lokasi itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, polis turut menahan empat lelaki berkumpul di hadapan sebuah pasar raya di Uptown Damansara dan tiga lelaki yang berkumpul minum minuman keras di taman permainan di sebuah apartment di Damansara semalam.

“Tangkapan juga dibuat ke atas tiga lelaki pada jam 12.20 tengah malam kerana kesalahan berada di warung yang beroperasi selepas waktu dibenarkan di Taman Medan,” katanya.

Katanya, kesemua ditahan iaitu 29 lelaki dan tiga wanita termasuk 20 warga asing itu disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Beliau berkata, warga asing yang ditahan ialah tujuh warga Indonesia, India (tiga), China (tiga), Vietnam (dua) dan masing-masing seorang Nigeria dan Pakistan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 8:15pm
    d