mutakhir

Ingkar PKP: Majikan paksa bekerja

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

AKIBAT ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lapan lelaki termasuk dua majikan ditangkap ketika bekerja di sebuah premis penyimpanan perkakas rumah di Pusat Industri Dam, dekat Jalan Dam, Lahad Datu, hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi itu, suspek berusia 19 hingga 50 tahun.

Difahamkan dua majikan berkenaan memaksa pekerja datang bekerja walaupun wabak Covid-19 melanda negara jika mahu dibayar gaji.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum tangkapan dijalankan pihaknya menerima makluman premis itu menjalankan operasi lalu sepasukan anggota dihantar bagi menjalankan pemeriksaan.

Menurutnya, sebaik tiba seramai lapan lelaki ditemui dalam premis itu dan enam pekerja sibuk menjalankan tugasan.

“Semuanya ditangkap kerana melanggar arahan PKP lalu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut mendapati premis itu lokasi penyimpanan perkakasan besi milik syarikat yang menjalankan perniagaan membina rumah dan bangunan di ladang sekitar daerah ini.

“Siasatan mendapati, premis itu menjalankan operasi sejak 23 Mac lalu. Enam pekerja itu pula diberikan arahan oleh dua majikannya supaya bekerja jika tidak gaji mereka akan dipotong,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.

“Ini adalah tangkapan pertama bagi IPD Lahad Datu bagi pesalah yang melanggar perintah berkenaan.

“Justeru, kami menasihatkan penduduk daerah ini agar mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan demi kebaikan semua masyarakat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 9:27pm
    d