mutakhir

Nasib malang penagih air ketum

Oleh Zuhainy Zulkiffli

SERAMAI 19 lelaki yang dipercayai sedang menunggu bekalan air ketum berhampiran bangsal nelayan di Kampung Contoh Bagan Ajam, Butterworth, diberkas pihak berkuasa kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kumpulan lelaki terbabit sebelum itu enggan beredar selepas beberapa kali diberi amaran oleh anggota polis yang sedang melakukan rondaan pemantauan Op Covid-19 pada 4.45 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi berkata, semasa anggota yang bertugas mahu melakukan penahanan, mereka bertempiaran lari namun berjaya ditahan semula.

Beliau berkata, pemeriksaan di sekitar bangsal berkenaan mendapati beberapa lelaki menyorok di dalam sebuah bilik dan mereka turut ditahan.

“Kesemua mereka berusia 23 hingga 59 tahun dan terdiri daripada 16 warga tempatan dan tiga warga Myanmar.

“Kesemuanya dibawa ke balai polis bagi tindakan lanjut, ” katanya.

Noorzainy berkata, siasatan terhadap lelaki berkenaan mendapati mereka berkumpul dan melepak di bangsal itu bagi menunggu bekalan air ketum untuk diminum.

Katanya, lokasi berkenaan adalah tempat nelayan berkumpul namun ketika kejadian itu berlaku, ia bukanlah waktu kebiasaan nelayan pulang dari laut dan tindakan mereka melanggar arahan PKP.

“Semakan rekod terhadap semua lelaki itu didapati tiada kesalahan atau jenayah lampau dan ujian air kencing juga didapati negatif daripada pengambilan dadah.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 serta dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman,” katanya.

Terdahulu, video yang memaparkan polis membawa tahanan itu juga tular di media sosial sejak petang tadi.

Noorzainy berkata, polis menasihati orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya menularkan sesuatu kejadian yang direkodkan bagi kepentingan peribadi atau mendapat publisiti sebelum mendapat kesahihan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 11:48pm
    d