mutakhir

14 ditahan ingkar PKP

Oleh Hamzah Osman

SERAMAI 14 individu termasuk enam remaja ditahan akibat melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Mukim Kuah dan Padang Matsirat, Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, individu berusia antara 17 dan 43 itu ditahan dalam tempoh tiga jam mulai 5.30 petang semalam.

“Tangkapan pertama membabitkan dua individu daripada sekumpulan lelaki yang berkumpul di tepi jalan di Kampung Teluk Yu pada 5.30 petang.

“Enam lelaki lagi ditahan di tepi jalan menghala ke Taman Nilam pada 6.30 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, tangkapan ketiga pada 6 petang pula membabitkan lima lelaki yang sedang berhimpun di tepi jalan di Kampung Sungai Raya.

“Tangkapan keempat membabitkan seorang lelaki warga Indonesia di kawasan parkir motosikal di Jeti Kuah pada 7.30 malam.

“Semua 14 individu terbabit gagal memberi alasan munasabah untuk berada di luar rumah, sekali gus melanggar PKP yang sedang dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata, semua individu terbabit ditahan reman dan disiasat bawah Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 9:32am
    d