mutakhir

Tangisan anak uji mental kuarantin diri

Oleh BERNAMA

TANGISAN anak tunggal berusia tujuh tahun di pintu bilik meminta dipeluk antara cabaran paling hebat bagi peneraju Bernama Radio berikutan terpaksa kuarantin diri secara sukarela berikutan berkontak rapat dengan pesakit positif Covid-19.

Raifanabillah Zulkifli, peneraju siaran pagi Radio Bernama menyifatkan pengalaman berkuarantin amat mencabar daripada segi mental serta memerlukan daya kekuatan amat tinggi.

Beliau yang memuat naik pengalamannya semasa kuarantin di laman Facebooknya turut menceritakan segala langkah diambil bagi memastikan keluarganya dihindari daripada dijangkiti virus itu.

“Kena jaga jarak sekurang-kurangnya dua meter kerana takut ada rembesan air liur dan tidur serta makan berseorangan di bilik lain,” katanya.

Raifanabillah atau lebih dikenali sebagai Raifa berkata, sebelum mendapat keputusan negatif Covid-19, beliau sukar untuk tidur kerana memikirkan pelbagai kebimbangan mengenai penyakit itu.

“Untuk dua minggu itu, kamu akan fikir macam mana kalau tidak selamat, macam mana esok bangun dah tiada, macam-macam benda la fikir masa ini,” katanya.

Raifa berkata, dia perlu melalui pelbagai langkah perubatan sepanjang kuarantin iaitu memeriksa suhu badan setiap hari dan memastikan tiada simptom gejala Covid-19.

“Petugas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Cheras datang untuk membuat pemeriksaan mengejut walaupun belum disahkan positif, PKD akan call untuk tanya kesihatan dan sebagainya,” katanya.

Raifa berkata, dia turut mengalami serangan panik bila hari keputusan semakin menghampiri.

“Walaupun ini adalah cabaran perlu dilalui, saya berterima kasih kepada doktor yang prihatin serta ahli keluarga dan rakan yang sentiasa di sisi saya,” katanya dalam catatannya di FB.

Raifa menyarankan bagi mereka yang pernah berhubung rapat dengan kes positif Covid-19 supaya menjalani ujian saringan dengan segera untuk memastikan mereka tidak menularkan virus itu dan menjejaskan kesihatan orang lain.

“Duduklah di rumah kerana kamu boleh bergerak bebas dalam rumah sendiri sekurang-kurangnya berbanding dikuarantin berseorangan dalam bilik….percayalah ia tak seindah disangka.”

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 11:00am
    d