mutakhir

Enam ditahan ketika syok bersembang

Oleh Rosli Ilham

ENAM individu termasuk tiga wanita yang tidak menghiraukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan polis ketika sedang bersembang di hadapan rumah di Kampung Geliga, Chukai, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, semua yang ditahan itu berusia di antara 20 hingga 32 tahun.

Beliau berkata, sebelum tangkapan, pasukan khas Covid-19 Kemaman sedang menjalankan Rondaan Op Covid-19 di kawasan itu pada 7 malam.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu sebelum anggota rondaan bergegas ke lokasi kejadian.

“Selepas ditanya, mereka mengaku bersembang walaupun PKP sudah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan di Chukai, hari ini.

Hanyan berkata, semua suspek dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk siasatan lanjut kerana didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan) 2020.

Beliau berkata, mereka yang juga penduduk tempatan direman sehingga 31 Mac ini.

Katanya, ini adalah tangkapan kedua ingkar PKP selepas lima lelaki ditahan ketika memancing di Kampung Pasir Minal, Binjai, sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 11:51am
    d