mutakhir

Nafi halang tugas polis [METROTV]

Oleh Nor Farhani Che Ad

PEMANDU van kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini atas empat pertuduhan menghalang tugas polis menjalankan arahan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pada 19 Mac lalu.

P Ganeson, 31, dari Taman Ria Jaya membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arif Mohamad Shariff.

Berdasarkan pertuduhan pertama yang dibacakan, tertuduh dengan sengaja menghalang tugas Koperal Zackson Voo Ken Yee menjalankan tugas jawatannya ketika melakukan rondaan cegah jenayah di Sungai Petani.

Perbuatan itu dilakukan di Kuil Hindu Jalan Air Mendidih di sini, 10.30 pagi 19 Mac lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa gagal mengemukakan kad pengenalan diri ketika pemeriksaan dilakukan oleh pihak polis mengikut Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan Koperal Zackson Voo Ken Yee dengan mengeluarkan kata-kata kesat.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh turut didakwa bergerak dari satu tempat yang lain dari Taman Ria Jaya ke satu tempat yang lain iaitu rumah ibadat berkenaan di dalam mana-mana kawasan tempat jangkitan.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 7, peraturan sama.

Mengikut kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Pavitra.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi pertuduhan ketiga dan keempat serta menetapkan sebutan semula kes pada 19 Mei ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 1:17pm
    d