mutakhir

Penginapan percuma buat barisan hadapan

Oleh Ruwaida Md Zain

KERAJAAN negeri akan menyediakan penginapan percuma kepada petugas barisan hadapan menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa Ke-2.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia akan diuruskan di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Sebagai permulaan, kita akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu.

“Sebanyak 204 bilik diperuntukkan di Hotel De Palma Ampang manakala 83 bilik lagi disediakan di Hotel De Palma Shah Alam bagi memenuhi keperluan ini.

“Penawaran kemudian akan diperluas kepada kelompok lain yang bersesuaian berdasarkan keperluan semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, kerjasama dengan hospital swasta turut diperluas dengan pihak itu bersetuju menerima kes bukan Covid-19 daripada hospital kerajaan.

“Ini susulan beberapa perbincangan awal membabitkan anak syarikat kerajaan negeri, Selgate Corporation bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

“Hospital swasta ini juga bersedia untuk menyumbangkan beberapa alat bantu pernafasan (ventilator) buat kegunaan hospital kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Amirudin mengadakan mesyuarat bersama Pegawai Kewangan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor bagi memperhalusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa Ke-2, dalam usaha membantu rakyatnya yang terkesan dengan Covid-19.

Mengenai pakej itu, katanya pengumuman seterusnya akan dibuat pada permulaan sesi kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semoga sinergi antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan dan swasta beri hasil terbaik kepada rakyat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 4:09pm
    d