mutakhir

Kadar pematuhan PKP di Petaling meningkat

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KADAR pematuhan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh orang ramai di daerah ini meningkat kepada 95 peratus.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, berdasarkan lawatan dilakukan di beberapa kawasan pemantauan di daerah terbabit, hari ini, beliau mendapati kadar pematuhan bertambah baik berbanding kelmarin.

“Sebelum ini, saya ada menerima maklumat memaklumkan ramai penghuni di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) keluar rumah dan bersembang di bawah (blok).

“Namun pemantauan dilakukan mendapati semua penghuni mengikuti arahan PKP dengan tidak keluar rumah,” katanya selepas melakukan lawatan ke lima lokasi di sekitar daerah ini bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, hari ini.

Antara lokasi yang dilawat beliau adalah Plaza Tol Damansara-Sprint, Plaza Tol Kota Damansara dan PPR Seksyen 8 Kota Damansara.

Hamzah berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa ada empat jalan ditutup di sekitar daerah itu membabitkan Jalan Gasing 5/46, Jalan Persiaran Mahogani, Jalan Persiaran Jati dan Jalan Persiaran Sungai Buloh bagi mengawal lalu lintas di kawasan berkenaan.

“Saya sudah berbincang dengan Ketua Polis Daerah mengenai jumlah jalan ditutup dan sekatan jalan raya dilakukan di seluruh daerah ini dan keadaan dalam keadaan terkawal ketika ini.

“Ini kerana banyak sekatan jalan raya yang dilakukan enam anggota bagi setiap lokasi selain dibantu anggota Angkatan Tentera Malaysia di beberapa lokasi,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengikut arahan dikeluarkan pihak berkuasa dengan duduk di rumah bagi membolehkan wabak Covid-19 dibendung.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 4:25pm
    d