mutakhir

Lima ditahan tidak endah PKP

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

REMAJA berusia 17 tahun antara lima lelaki ditahan kerana tidak mengendahkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila berkumpul di tepi jalan Kampung Desa Sri Medan, Tembila di Jertih, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, semua individu yang ditahan berusia antara 17 hingga 38 tahun.

“Ini adalah kes tangkapan kedua selepas kes pertama apabila polis menahan seorang lelaki di Kampung Raja pada Jumaat lalu kerana tidak mematuhi arahan PKP.

“Dalam kejadian 10 malam semalam, anggota polis menjalankan rondaan Op Covid-19 di kawasan itu sebelum terserempak dengan sekumpulan lelaki berkumpul di tepi jalan.

“Mereka kemudian diarahkan pulang ke rumah, tetapi tidak mengendahkannya lalu ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rozak berkata, hasil pemeriksaan mendapati mereka keluar dari rumah tanpa alasan munasabah sekali gus ingkar arahan PKP.

“Saringan ujian air kencing ke atas dua suspek berusia 34 dan 37 tahun positif methamphetamine dan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan (7) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 29, 2020 @ 4:54pm
    d