mutakhir

Bersyukur catuan air akan tamat

Oleh Hassan Omar

RAKYAT Melaka bersyukur dan menyifatkan penamatan catuan air mulai Rabu ini mampu mengurangkan beban menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tidak perlu lagi mengangkut air.

Mereka mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin terhadap kesukaran mereka meneruskan rutin kehidupan tanpa air sejak 29 Januari lalu.

Raja Shahrul Raja Mohamad, 33, berkata, sejak catuan air dimulakan, beliau terpaksa mengangkut air dari pusat agihan setempat Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) ke kediamannya di Taman Bidara Palma, Tanjung Bidara dekat Alor Gajah.

“Pada hari tiada bekalan air, saya terpaksa mengangkut air sejauh kira-kira satu kilometer untuk kegunaan memasak dan minum manakala air untuk mandi dan membasuh pakaian, saya ada tadah dalam beberapa tong kecil.

“Alhamdulillah, Allah mendengar rintihan rakyat negeri ini yang terpaksa menempuh dugaan sepanjang catuan air bermula Januari lalu dan kami berdoa agar Tuhan sentiasa menurunkan rahmat-Nya di negeri ini,” katanya ketika ditemui menadah air di pusat berkenaan di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, hari ini.

Sementara itu, Mohd Julaimi Zainon, 42, berkata, langkah kerajaan negeri itu bukan setakat melegakannya, malah membantu untuk memastikan beliau tidak perlu keluar rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur selepas dua bulan terpaksa mengangkut air, bebanan itu bakal berakhir dan saya berdoa paras tiga empangan utama di negeri ini sentiasa konsisten dengan adanya hujan berterusan,” katanya.

Semalam Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali mengumumkan catuan air di seluruh Melaka sejak 29 Januari lalu ditamatkan Rabu ini berikutan peningkatan paras air di Empangan Durian Tunggal, di sini dan Empangan Jus serta Empangan Asahan di Jasin sejak sejak minggu lalu.

Empangan Durian Tunggal dijangka mencapai tahap 43 peratus pada Rabu ini sebelum mencapai tahap 60 peratus, iaitu tahap yang membolehkan catuan air ditamatkan pada minggu ketiga April ini dan ia memberi manfaat kepada 80 peratus atau 735,221 isi rumah, termasuk kawasan perindustrian dan perhotelan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 1:09pm
    d