mutakhir

Penduduk patuh PKPD [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Muhaamad Hafis Nawawi

SUASANA di sekitar Batu 21 Sungai Lui, Hulu Langat yang sebelum ini sibuk dengan kegiatan penduduk, kini sepi ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak tengah malam tadi.

Rata-rata penduduk mematuhi arahan berada di dalam rumah dan menjaga kebersihan diri masing-masing selain kawasan berkenaan juga dipenuhi petugas keselamatan mengawal laluan utama keluar masuk di situ.

Penduduk, Nazri Daud berkata, ketika ini sekitar Batu 21 lengang dan penduduk melalui sekatan pasukan keselamatan.

Katanya, penduduk hanya dibenarkan pulang ke rumah dan tidak boleh keluar semula namun keadaan masih lagi terkawal.

“Dua laluan utama untuk masuk ke sini dari Batu 18 dan Jalan Semenyih-Genting Peras dikawal pihak berkuasa.

“Kelihatan juga kenderaan Jabatan Penerangan Malaysia masuk ke kampung membuat pengumuman mengenai perintah PKPD ini,” katanya kepada Harian Metro.

Semalam kerajaan memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) arahan kedua selepas Simpang Renggam di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Ia membabitkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah, termasuk tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.

Perintah ini akan berkuatkuasa mulai tengah tadi sehingga 13 April 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 1:27pm
    d