mutakhir

Pelajar warga asing hadir perhimpunan tabligh

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Muhaamad Hafis Nawawi

SEBAHAGIAN penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23, Sungai Lui yang disahkan positif Covid-19 terdiri pelajar tahfiz warga asing yang menumpang di situ.

Pengurus Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah, Wan Mohamad Abu Jandal berkata, ada pelajar warga asing dari Filipina, Vietnam, Kemboja dan Afrika pernah menyertai perhimpunan tabligh sebelum ini.

Menurutnya, bagaimanapun jumlah mereka yang menghadiri perhimpunan itu tidak dapat dipastikan.

“Pelajar ini sebenarnya hanya menumpang sementara di sini kerana tempat belajar mereka di Sri Petaling dalam proses pembaikan.

“Malah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi kami sudah meminta pelajar tahfiz pulang ke rumah masing-masing dan sehingga kini maahad tahfiz tidak beroperasi,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Wan Mohamad berkata, dia difahamkan empat tenaga pengajar warga asing itu juga positif Covid-19 dan dikuarantin di Hospital Sungai Buloh.

“Pelajar tahfiz di sini juga sudah menjalani ujian saringan dan setakat ini baru seorang positif Covid-19, mungkin dia ada kontak dengan pelajar warga asing terbabit.

“Saya sendiri masih dalam kuarantin di rumah yang akan berakhir esok, sedang menunggu keputusan ujian buat kali kedua kerana ujian sebelum ini negatif,” katanya.

Katanya, pelajar yang lain juga masih menunggu keputusan di mana mereka perlu menjalani tiga kali ujian saringan.

Semalam kerajaan memutuskan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) arahan kedua selepas Simpang Renggam di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Ia membabitkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah, termasuk tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.

Perintah ini akan berkuatkuasa mulai tengah tadi sehingga 13 April 2020.

Malah, 71 kes positif jangkitan Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23, Sungai Lui.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 1:36pm
    d